Saturday, May 16, 2009

ISTERI DERHAKA (NUSYUZ)

MAKSUD NUSYUZ (DERHAKA)
1. Nusyuz membawa maksud suatu tindakan yang dilakukan oleh isteri yang dianggap menentang kehendak suami dengan tidak ada alasan yang munasabah menurut hukum syarak. Tindakan itulah dikira durhaka. Nusyuz pada isteri bererti isteri itu meninggikan diri. Bermaksud, isteri tersebut tidak patuh kepada suaminya atau boleh juga disebut isteri derhaka.

2. Dalam kitab fikah dijelaskan hukum ke atas isteri yang nusyuz atau derhaka. Mengikut Mazhab Syafie isteri hanya akan mendapat hak nafkahnya apabila dia bersedia menyerahkan diri kepada suaminya. Jika terbukti dan disabitkan bahawa seseorang isteri itu telah melakukan sesuatu yang menunjukkan keingkaran kepada suaminya maka gugurlah haknya untuk mendapat nafkah.
Tanda-tanda Isteri yang Derhaka (Nusyuz)

3. Perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan pergaduhan lebih besar sehingga sesetengahnya berakhir dengan perceraian. Dalam hal ini, terkadang isteri bersikap agresif sehingga meninggi suara, membantah dan melawan kehendak suaminya tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak.

4. Perkara ini disebut sebagai nusyuz yang juga boleh dikategorikan sebagai derhaka. Apabila ia berlaku, gugurlah hak isteri untuk mendapatkan nafkah sehinggalah dia bertaubat.

Di antara sebab berlakunya nusyuz pada pihak isteri ialah:

i. Apabila disuruh menutup aurat dia enggan berbuat demikian.

ii. Enggan tinggal serumah dengan suami.

iii. Keluar rumah tanpa keizinan suami.

iv. Enggan menunaikan kewajipan sebagai seorang Islam, seperti mendirikan solat dan sebagainya.

v. Menjauhkan diri daripada suami.

vi. Enggan memenuhi kemahuan suami kecuali yang ditegah dan tidak mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada suami.

vii. Tidak memelihara kehormatan.

viii. Tidak menjaga amanah suami.

vxi. Tidak merahsiakan perhubungan suami isteri.
PERKARA-PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN APABILA ISTERI NUSYUZ

5. Apabila suami melihat tanda-tanda yang menunjukkan isterinya itu nusyuz, hendaklah suami itu :
1. Menasihati dengan cara yang baik dan menerangkan kepadanya bahawa nusyuz itu adalah salah dan dikutuk oleh Allah serta memberitahunya bahawa isteri yang nusyuz boleh dipotong atau tidak diberi sara hidupnya, firman Allah :Ertinya : Isteri yang kamu takuti kedurhakaan mereka, maka berilah nasihat kepada mereka.(Surah An-Nisa: ayat 34)
2. Jika nasihat itu tidak sedikitpun memberi kesan, maka hendaklah suami meninggalkan dari keseketiduran dengan isteri tersebut, sebagaimana firman Allah :Ertinya : Dan tinggalkan dari seketiduran dengan mereka.(sambungan ayat 34 surah An-Nisaa’).
6. Dari ayat ini dapat difahamkan bahawa Allah menyuruh suami-suami meninggalkan dari seketiduran sahaja, bukan meninggalkan percakapan, kerana meninggalkan percakapan lebih dari tiga hari adalah haram, bukan sahaja terhadap isteri-isteri malah terhadap orang lain juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Ertinya : Tidak halal bagi seseorang muslim tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari tiga hari. Maksudnya, ialah bila berjumpa di antara satu sama lain, tetapi kalau tidak bertemuan, tidaklah diharamkan walaupun tidak bercakap bertahun-tahun lamanya.
7. Jika tidak seketiduran pun tidak memberi apa-apa kesan, malah isteri tersebut terus nusyuz, maka diharuskan bagi pihak suami memukul isteri tersebut dengan syarat pukulan itu tidak sampai mencederakan atau melukakan sebagaimana firman Allah :Ertinya : Dan pukullah mereka (isteri).(Sambngan ayat 34 surah An-Nisa).
8. Dalam peringkat yang akhir ini, harus dilakukan oleh suami sekiranya difikirkan dengan cara ini akan memberi kesan. Sebaliknya kalau difikirkan tidak akan memberi kesan, maka tidaklah harus dilakukan. Dalam hal ini, suami mestilah berhati-hati , supaya tidak terpukul di tempat-tempat yang mendatangkan bahaya seperti muka, perut dan sebagainya.

No comments: